_________________________________________________________________________________
Manual Garis Panduan Dan Piawaian Perancangan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor adalah merupakan satu set garis panduan perancangan yang lengkap, komprehensif dan terkini yang disusun khas untuk rujukan oleh semua pihak yang terlibat dalam pentadbiran dan pengurusan perancangan serta pemajuan di Negeri Selangor. Manual ini juga boleh dijadikan bahan rujukan oleh pengamal-pengamal dalam bidang perancangan dan pemajuan di Negeri Selangor.
Penyediaan dokumen ini telah melibatkan semua Pihak Berkuasa Perancang Tempatan, jabatan-jabatan teknikal, agensi-agensi yang berkaitan di Negeri Selangor dan agensi serta jabatan kerajaan di peringkat Persekutuan yang terlibat dengan bidang-bidang yang khusus. Selari dengan prinsip perancangan bersama rakyat. Proses perundingan telah melibatkan perancang awam dan swasta serta profesyen dari bidang-bidang berkaitan dan pihak pemaju.
Garis Panduan Dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor ini disediakan berasaskan Piawaian Perancangan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia. Tujuan utama ialah untuk mengemaskini serta menyeragamkan piawaian sedia ada yang diubahsuai di mana perlu bagi penggunaan di Negeri Selangor serta menjelaskan parameter-parameter kawalan pembangunan fizikal secara telus. Manual ini juga merangkumi berbagai jenis pembangunan guna tanah baru yang dimajukan oleh sektor swasta (yang selama ini dilaksanakan oleh sektor awam) seperti hospital, sekolah dan pusat pendidikan tinggi. Pada masa yang sama perubahan dan penyesuaian ke atas garis panduan dan piawaian sedia ada juga dibuat untuk disesuaikan dengan keperluan perancangan Negeri Selangor selaras dengan status Negeri Selangor sebagai Negeri Maju (Developed State) pada tahun 2005.
Manual ini merangkumi hampir kesemua aspek perancangan dan pemajuan yang dapat dikategorikan mengikut had kawalan perancangan guna tanah utama (yang terdiri daripada guna tanah perumahan, perdagangan dan perindustrian) serta tiga aspek lain iaitu aspek sosial, alam sekeliling dan kejuruteraan dalam perancangan. Ia dipersembahkan dengan cara yang mudah dirujuk untuk menjadikan Manual ini lebih bersifat “user friendly”, dan sekaligus akan mempercepatkan proses membuat keputusan oleh jabatan-jabatan kerajaan selari dengan hasrat kerajaan untuk memberi keputusan ke atas mana-mana permohonan perancangan dalam masa sesingkat yang mungkin.
Adalah diharapkan edisi pertama Manual Garis Panduan Dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor ini digunakan secara kritis di semua peringkat pemakaian (negeri, daerah dan tempatan) di mana segala kelemahan dan kekurangannya boleh diperbetulkan dimasa akan datang. Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor sebagai urusetia dalam penyediaan Manual ini mengalu-alukan segala teguran serta cadangan daripada mana-mana jabatan, agensi, pengamal perancang bandar, pemaju serta orang perseorangan dalam usaha untuk menambahbaik Manual ini di mana perlu.
Manual ini telah dibincang di mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Selangor Bil 2/2005 pada 29 September 2005 dan diluluskan untuk pemakaian kepada semua pihak berkuasa perancang di Negeri Selangor di Mesyuarat Bil.2/2006 pada 6hb. Ogos 2006.
MOHD. JAAFAR BIN MOHD. ATAN
Pengarah, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor
JULAI 2007
_________________________________________________________________________________
Isi Kandungan yang terdapat didalam Manual Garis Panduan Dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor
- PERUTUSAN
- KATA-KATA ALUAN
- PRAKATA
- SENARAI RAJAH
- SENARAI JADUAL
- SINGKATAN
- PENGENALAN