jata Agensi di bawah
Kerajaan Negeri Selangor

email facebook twitter youtube rss

Jenis Font: Arial | PT Sans | Century
A A A A
A- A A+

Profil Jabatan

JPBD Negeri Selangor di Bangunan Darul Ehsan di tingkat 15

Negeri Selangor telah diisytiharkan sebagai sebuah Negeri Maju pada 27hb. Ogos 2005. Sebagai sebuah negeri maju, Negeri Selangor bermatlamat untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk yang tinggi, menguruskan pembangunan fizikal yang sempurna, memperkasakan kualiti desa dan menggalakkan ‘participatory planning’, melaksanakan sistem penyampaian yang berkesan dan menambahkan sumber hasil negeri.

Selaras dengan matlamat tersebut, Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Negeri Selangor yang merupakan peneraju utama pembangunan di negeri Selangor, penuh komited untuk mewujudkan perkhidmatan perancangan bandar yang bertaraf dunia. Oleh yang demikian, beberapa pendekatan perlu dilaksanakan iaitu:
i. Penyediaan rancangan pemajuan yang berteraskan pembangunan mampan;
ii. Pengawalan perancangan yang efisyen dan dapat mewujudkan persekitaran yang berkualiti;
iii. Pelaksanaan dan penguatkuasaan perundangan perancangan bandar dan desa yang berkesan;
iv. Perancangan dan membuat keputusan berasaskan maklumat lengkap dan berteraskan penyertaan pihak-pihak yang berkepentingan.

SEJARAH PENUBUHAN
JPBD Selangor
ditubuhkan sebagai Pejabat Perancang Bandar dan Kampung pada tahun 1958 sebagai sebahagian daripada Pejabat Perancang Bandar dan Kampung Negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka. Pada awalnya pejabat ini ditempatkan bersama dengan Ibu Pejabat Perancang Bandar dan Kampung di Damansara, Kuala Lumpur.

Pegawai Perancang Bandar dan Kampung Negeri Selangor yang pertama ialah En. W. Fairbank yang juga pegawai kepada Jabatan Perancang Bandar dan Kampung Negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka. Pejabat Perancang Bandar dan Kampung Negeri Selangor diwujudkan pada 1hb. September 1960.

Pada tahun 1970, pejabat ini telah berpindah ke Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Jalan Raja tetapi disebabkan oleh masalah luas ruang lantai dan banjir yang melanda Kuala Lumpur pada tahun 1971, pejabat ini dipindahkan ke Jalan Spooner pada tahun 1975.

Pada Mei 1978, Pejabat Perancang Bandar dan Kampung Negeri Selangor dipindahkan ke Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor ( PKNS ) di Shah Alam. Jumlah kakitangan Jabatan pada ketika itu adalah seramai 54 orang.

Pada bulan Disember 1982, jabatan ini telah berpindah ke Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Selepas 20 tahun beroperasi di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, jabatan sekali lagi berpindah ke Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada Mei 2002, dan kekal sehingga sekarang.

Cetak Emel