jata Agency of
Selangor State Government

email facebook twitter youtube rss

Jenis Font: Arial | PT Sans | Century
A A A A
A- A A+

Bandar Bebas Jenayah

Oleh AHMAD KAMIL MOHAMED - Utusan Online

KEJADIAN jenayah yang berlaku sejak akhir-akhir ini amat membimbangkan. Hampir saban hari kita disajikan dan disogokkan dengan pelbagai kejadian jenayah yang boleh sahaja membangkitkan perasaan takut orang ramai terhadap tahap keselamatan awam khususnya di bandar-bandar besar.

Guru dibunuh dalam perjalanan ke sekolah dan gadis yang dibunuh dan dirogol dalam perjalanan ke tempat kerja adalah antara kejadian jenayah yang bisa meruntun hati kita semua. Jenayah ragut yang ada kalanya berakhir dengan kematian merupakan kejadian jenayah yang semakin mendapat perhatian.

Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) melaporkan satu kes curi ragut berlaku setiap jam dalam enam bulan pertama tahun ini, iaitu peningkatan 141 atau tiga peratus kepada 4,766 kes berbanding 4,625 kes bagi tempoh sama tahun lalu. Walaupun kes ragut di negara ini masih boleh dianggap rendah jika dibandingkan dengan jumlah penduduk namun kita tidak boleh memandang ringan justeru trend yang berlaku menunjukkan peningkatan.

Kejadian jenayah sering dikaitkan dengan kawasan bandar yang sebenarnya berisiko tinggi berbanding dengan kawasan lain. Hakikat ini tidak dapat disangkal justeru pertambahan penduduk yang semakin pesat dan desakan hidup yang semakin meningkat mendorong kepada peningkatan perlakuan jenayah. Bagi mengurangkan kejadian jenayah ini, konsep bandar selamat perlu diberikan perhatian yang sewajarnya. Sebenarnya konsep bandar selamat telah diutarakan oleh Jane Jacobs seorang wartawan melalui bukunya Life and Death of American Cities (Hidup dan Matinya Bandar Raya Amerika) yang diterbitkan dalam tahun 1961. Sebagai seorang penghuni bandar, beliau telah mengenal pasti ciri-ciri pewujudan bandar selamat yang akhirnya telah diterima pakai sebagai panduan kepada perancangan bandar di Amerika Syarikat. Antara lain beliau menekankan kepada keperluan kerjasama komuniti bandar bagi meningkatkan tahap keselamatan para penghuninya.

Di negara kita konsep bandar selamat telah dicetuskan oleh YPJM seawal 1998 lagi dan Bangsar telah dipilih sebagai perintis kepada perlaksanaan konsep itu dengan pemasangan televisyen litar tertutup (CCTV) di pusat perniagaan Bangsar Baru. Ternyata langkah itu membuahkan hasil kerana kejadian jenayah dilaporkan menurun sehingga 12 peratus dan terus diperluaskan ke beberapa lagi kawasan di Lembah Klang dan bandar-bandar besar yang lain di seluruh negara.

Ekorannya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menerusi Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) telah memperkenalkan konsep bandar selamat yang mempunyai empat ciri-ciri utama iaitu pewujudan sebuah bandar yang bebas dari semua ancaman fizikal, sosial dan mental; persekitaran yang sentiasa dalam keadaan paling terpelihara selain tidak menimbulkan suasana yang boleh menggalakkan kejadian mengganggu-gugat kesejahteraan setempat. Bandar selamat juga menjanjikan supaya penghuni sentiasa berada dalam keadaan yang paling selamat, sejahtera, sihat dan ceria.

Dalam hubungan ini, jemaah menteri pada Ogos 2004 telah menggariskan empat matlamat utama dalam mewujudkan bandar selamat iaitu:

  • Bandar yang bebas daripada keganasan, merosakkan harta benda dan nyawa seperti gejala ragut, pecah rumah, kecurian dan sebagainya.
  • Bandar yang bebas daripada kemusnahan dan malapetaka ekoran bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh.
  • Bandar yang bebas daripada kemerosotan sosial dan moral, seperti penagihan dadah, kecurian, jenayah kolar putih, rasuah, salah guna kuasa, hilang integriti dan sebagainya.
  • Bandar yang bebas daripada kemalangan dalam dan luar bangunan seperti kemalangan jalan raya, jatuh dari bangunan, kebakaran dan sebagainya.


Bagi mencapai matlamat ini lima langkah segera telah dicadangkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar dilaksanakan iaitu:

  • Pengasingan laluan pejalan kaki dengan jalan bermotor.
  • Penyediaan pagar.
  • Mencuci kawasan-kawasan semak dan terlindung.
  • Laluan awam tidak terlindung atau terhalang dari pandangan awam.
  • Mencahayakan kawasan-kawasan gelap yang menjadi sasaran atau tumpuan penjenayah.


Peringkat awal pelaksanaannya tertumpu kepada program tindakan pencegahan jenayah khususnya jenayah harta benda melalui tiga strategi utama, iaitu reka bentuk persekitaran fizikal, kesedaran awam dan memperkasakan kawasan sasaran yang menggariskan 23 langkah pencegahan jenayah.

Namun begitu apa yang menggusarkan kita ialah konsep bandar selamat yang ternyata berkesan dalam mengurangkan kadar jenayah ini tidak mendapat sambutan yang baik dari kebanyakan PBT di negara ini. Ini terbukti apabila setelah lebih kurang lapan tahun konsep ini diperkenalkan, berdasarkan laporan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, setakat Jun lalu cuma 20 daripada 144 telah memasang CCTV.

Namun sebagai salah satu langkah membendung kejadian jenayah yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini selain daripada saranan Perdana Menteri sendiri, mulai tahun ini telah diberikan peruntukan sejumlah RM236 juta setahun berbanding sebanyak RM84 juta sebelum ini dengan tumpuan utama kepada pewujudan bandar selamat melalui pemasangan CCTV.

Perlu diingat, di samping mempertingkatkan sistem kerja dan penyampaian perkhidmatan yang efisien kepada penduduk, sesebuah PBT tidak sepatutnya memandang remeh kepada aspek keselamatan penduduk-penduduk di dalam kawasannya. Dalam memberi kelulusan perancangan pemajuan dan pembangunan dalam kawasan pentadbiran masing-masing, PBT mestilah mengambilkira juga aspek keselamatan dan keselesaan penduduknya. Apa yang berlaku pada masa kini aspek tersebut kurang diberi perhatian oleh pelbagai pihak yang bertanggungjawab mengenainya.

Bagi menjamin keselamatan rakyat keseluruhannya, PBT seharusnya memberikan perhatian yang lebih serius kepada usaha mewujudkan sebuah bandar yang selamat. Bangunan-bangunan yang diluluskan untuk dibina mestilah mempunyai reka bentuk yang sesuai dan selamat digunakan serta mempunyai sistem keselamatan yang sesuai seperti pencahayaan yang mencukupi, tempat letak kereta yang terang dan dilengkapi dengan sistem CCTV yang canggih dan sebagainya.

Namun begitu konsep bandar selamat tentunya tidak terhad kepada pemasangan CCTV semata-mata. Apa yang lebih penting ialah orang ramai juga perlu dididik supaya lebih berhati-hati dan tidak mendedahkan diri mereka kepada bahaya perlakuan jenayah. Selain daripada itu tanggungjawab membanteras jenayah tidak seharusnya dibebankan kepada polis semata-mata justeru dengan nisbah polis dan penduduk di Kuala Lumpur pada 1:278 manakala di Selangor 1:565 sekarang adalah tidak adil untuk mengharapkan peranan mereka semata-mata.

Sikap tidak ambil peduli kepada mereka yang menjadi mangsa jenayah juga perlu dikikis.

Print Email